Home
Site Map
     

NEWS

Published: Saturday, 29 October 2011
Source: Berita Harian

Silk kembali kukuh raih hasil RM247 juta

Silk Holdings Bhd yang terbabit dalam perniagaan berkaitan infrastruktur lebuh raya dan perkhidmatan sokongan marin, berada di landasan kukuh untuk kembali mencatatkan keuntungan, kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohd Azlan Hashim.

Beliau berkata, keberkesanan pemulihan semula hutang diperkenalkan dua setengah tahun lalu bukan saja menyaksikan pendapatan kumpulan mengukuh sekitar 11 peratus kepada RM247.726 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Julai 2011, malah turut menyaksikan pengukuhan ketara kedudukan tunai hampir 150 peratus kepada RM64.744 juta penghujung Julai lalu daripada RM25.930 juta setahun sebelumnya.

Sungguhpun, bahagian infrastruktur lebuh raya dijangkakan mencatat kerugian perakaunan untuk tempoh semerta hingga sederhana, tetapi saiz kerugian akan beransur mengecil sejajar pertambahan jumlah trafik di Lebuhraya Kajang SILK.

Bahagian sokongan marin pula akan menerima dua kapal baru awal tahun depan, sekali gus membuka peluang untuk kami meraih kontrak pajakan baru pada masa depan, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd, Johan Zainuddin Dzulkifli.

Cabang perkhidmatan sokongan marin milik penuh SILK Holdings itu minggu lalu memperoleh tiga kontrak pajakan kapal bekalan tunda kendalian sauh (AHTSV) jangka panjang daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd, bernilai RM55.3 juta. Syarikat berkenaan ketika ini digerakkan 14 angkatan kapal yang kesemuanya di kontrak untuk jangka panjang

Mohd Azlan berkata, konsesi Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang Sdn Bhd mencatat jumlah trafik 45.4 bilion kenderaan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, peningkatan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya. Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini saja purata trafik harian (ADTV) di Lebuhraya Kajang SILK melepasi 140,000 kenderaan sehari, katanya.

Kedua-dua bahagian ini dijangka kekal menyumbang aliran tunai positif dan mengekalkan keuntungan operasi kumpulan, katanya sambil menambah pihaknya yakin SILK Holdings akan pulih sepenuhnya daripada komitmen hutangnya dan mula mencatat keuntungan dalam beberapa tahun lagi.

SILK Holdings mencatat kerugian bersih RM11.236 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Julai 2011 berbanding keuntungan bersih RM10.034 juta tahun sebelumnya.Azlan menjelaskan, kemerosotan keuntungan bersih itu disebabkan terutama penggunaan standard perakaunan baru yang menyaksikan peningkatan 45 peratus dalam pelunasan perakaunan kumpulan dalam tahun kewangan dikaji.




 

 

| NEXT

 

 

Copyright © Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd. All Rights Reserved.